Oren, biru, hijau, merah, kuning dan banyak lagi warna-warna yang anak anda perlu tahu.

Usia tiga tahun adalah masa permulaan untuk anak anda mengetahui jenis-jenis warna. Anda boleh mula ajar anak mengenal warna sebelum dia memasuki pra sekolah. Perkara yang paling asas ialah mulakan dengan apa yang dia lihat setiap hari.


Ia boleh dilakukan dengan menyebut warna perabot, perkakasan rumah, permainan dan buku berilustrasi. Sebenarnya mempelajari warna adalah permulaan yang baik untuk melatih otak anak anda tentang kebolehan berfikir.


Bagi kanak-kanak kecil untuk mengenal warna mereka memerlukan pelbagai maklumat yang mudah dah tepat. Misalnya apabila anda menunjukkan buah epal dan katakan ia berwarna hijau, kemungkinan anak anda akan beranggapan bahawa bentuk epal membawa maksud warna hijau.


Namun anda seharusnya menunjukkan dengan jelas bahawa bukan buah epal sahaja yang berwarna hijau. Sebaliknya warna hijau mungkin pada fabrik kain atau dedaun. Jelaskan juga kepadanya ada banyak warna-warna lain di sekelilingnya kehidupannya sama ada ia di dalam atau di luar rumah.


Dalam hal ini apabila anak-anak sudah boleh mengenal warna, mudah untuk dia melakukan aktiviti mewarna. Peringkat ini, mereka sudah bersedia untuk melakukan aktiviti itu. Sesetengah ibu bapa berpendapat ia hanya aktiviti untuk berseronok dan menghabiskan masa sahaja. Namun mewarna ini membantu kanak-kanak mengenal warna dengan mudah sambil melakukan aktiviti mewarna lukisan. Di sini ada beberapa sebab kenapa kanak-kanak perlu mewarna.


Mengenal Warna

Apabila kanak-kanak mula belajar mewarna, ia adalah langkah pertama untuk dia mengenal warna. Apabila dia sudah didedahkan dengan aktiviti mewarna pada awal usianya secara kerap, dia akan mudah mengenali warna dan tahu bagaimana untuk mencampurkan warna untuk mencipta warna baru yang lain.

Luahan

Mewarna adalah cara yang menunjukkan dia sudah bersedia untuk meluahkan apa yang dirasakannya. Dia akan menconteng dan melakar pada kertas putih mengikut perasaannya. Jika perasaannya stabil, lakaran warna kemas dan sebaliknya jika perasaannya tidak stabil. Dalam pada masa yang sama, ia boleh dikatakan terapi buat si manja kerana dia akan memilih jenis-jenis warna yang dia suka tanpa dipaksa oleh ibu bapa atau pengasuh.

Membina Kemahiran Motor Halus

Mewarna membantu kanak-kanak membina kemahiran motor halus mereka. Kemahiran motor halusnya penting dalam kehidupannya. Apabila melakukan aktiviti mewarna, ia membantu seorang kanak-kanak membangunkan otot-otot tangan mereka dengan cara dengan cara memegang dan mengawal pencil warna dengan betul.

Belajar Fokus Dan Had

Mewarna mengajar kanak-kanak belajar tentang fokus sesuatu perkara. Misalnya apabila melukis dia akan memberi tumpuan untuk menghabiskan lukisannya. Malah ia juga membuatkan kanak-kanak belajar tentang had iaitu tidak mewarna di luar garisan yang telah ditetapkan. Kanak-kanak yang berjaya mewarna dengan baik akan merasa bangga dengan hasil kerjanya.

5 Idea Mengajar tentang warna

1. Buat agar-agar berwarna.
2. Ajak anak bungkus kertas hadiah yang berwarna.
3. Guna cawan minum berwarna.
4. Biarkan dia bermain dengan kertas warna.
5. Berikan air yang berwarna untuk si manja minum.
6. Ajak dia bersama-sama membuat muffin yang berwarna.
7. Bila mengajar tentang merah, beri dia makan stawberi.
8. Warna coklat, makan coklat.
9. Warna biru,kaitkan dengan lautan.
10. Hijau, makan epal dan timun dan juga tentang alam semula jadi dan tumbuh-tumbuhan.
11. Warna oren, ingat buah oren dan lobak.
12. Buat origami menggunakan kertas warna putih.
13. Masak nasi bersama anak dan katakan ia berwarna putih.
14. Kuning dengan warna lemon juga makan nanas.
15. Hitam dan putih, ceritakan tentang haiwan zebra.

Tip Mudah

1. Apabila anak anda sudah mengenal warna, suruh dia mengambil beberapa helai baju yang berwarna yang telah dipelajari pada minggu sebelum ini.
2. Setiap minggu, suruh si manja tunjukkan warna yang dipelajarinya dalam majalah.
3. Apabila berada di luar rumah, suruh anak anda cari warna hijau. Biarkan dia mengutip dedaun di padang permainan.
4. Kanak-kanak banyak belajar tentang warna daripada ibu bapanya dan gurunya di tadika.
5. Rumah adalah tempat yang sangat baik untuk anak anda mengenal warna dengan mudah.