Friday, 21 September 2012

Eddah Seorang Wanita

Assalamualaikum
Hai

Sumber #1: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL


Eddah yang ditetapkan oleh Syariat ke atas wanita yang diceraikan suami adalah seperti berikut;

1. Wanita yang diceraikan suami dan ia masih kedatangan haid; eddahnya tiga kali suci (dari haid) berdalilkan ayat (bermaksud); “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid)” (Surah al-Baqarah, ayat 228). Dikecualikan jika ia mengandung, maka eddahnya ialah eddah wanita mengandung yang akan disebutkan nanti.[1] Maksud tiga kali suci ialah tiga kali suci selepas haid, iaitu; apabila suaminya menceraikannya ketika ia suci itu dikira suci pertama, kemudian ia kedatangan haid, kemudian disusuli suci kedua, kemudian kedatangan haid lagi, kemudian disusuli suci ketiga. Apabila habis sahaja suci yang ketiga iaitu ia kedatangan haid semula, tamatlah eddahnya.

2. Wanita yang diceraikan suami dan ia telah terputus haid (yakni sampai umur putus haid)[2] atau belum didatangi haid (kerana masih kecil); eddahnya ialah 3 bulan berdalilkan ayat (yang bermaksud); “Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid jika kamu keliru (yakni kamu jahil tentang hukum eddahnya), maka eddahnya ialah tiga bulan dan (demikian juga) perempuan-perempuan yang belum kedatangan haid (kerana masih kecil, eddahnya juga tiga bulan)” (Surah at-Talaq, ayat 4). Menurut mazhab Syafiie dan Hanbali; termasuk juga yang perlu bereddah tiga bulan ialah wanita yang berterusan keluar darah dari farajnya di mana ia tidak dapat membezakan lagi bila ia haid dan bila ia istihadhah. (Tafsir al-Munir, lihat pandangan Imam Mujahid dalam al-Jassas. Lihat juga; Tamam al-Minnah, al-Azzazi).

4. Wanita yang diceraikan suami dan ia mengandung; eddahnya ialah dengan melahirnya anak berdalilkan ayat (bermaksud); “Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya” (Surah at-Talaq, ayat 4).

5. Wanita yang dicerai suaminya dan ia menjalani eddah dengan eddah penceraian tadi (iaitu 3 kali suci atau 3 bulan), kemudian sebelum tamat eddah suaminya meninggal, bagi kes ini eddahnya bertukar kepada eddah kematian suami ialah 4 bulan 10 hari (bermula dari tarikh kematian suaminya) berdalilkan firman Allah (bermaksud); “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (bereddah) selama empat bulan sepuluh hari” (al-Baqarah, ayat 234).

6. Wanita yang diceraikan sebelum disetubuhi oleh suaminya; tiada eddah berdalilkan ayat (bermaksud); “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya (yakni sebelum menyetubuhinya), maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang eddah yang kamu boleh hitungkan masanya.” (Surah al-Ahzab, ayat 49). Adapun jika ia kematian suaminya, maka eddahnya ialah 4 bulan 10 hari walaupun belum sempat berlaku persetubuhan (jimak) antara dia dan suaminya berdalilkan makna umum ayat tentang eddah kematian suami tadi.
Wallahu a’lam.

Nota hujung;
[1] Ini adalah berdasarkan pandangan mazhab Syafiie dan Maliki. Adapun mazhab Hanbali dan Hanafi; eddahnya ialah tiga kali haid. Mereka mentafsirkan al-quru’ dalam ayat di atas sebagai haid, bukan suci. Berdasarkan pandangan kedua, maksud tiga kali haid ialah dengan ia melalui tiga kali kedatangan haid, iaitu; selepas ia diceraikan ia didatangi haid pertama, kemudian suci, kemudian datang haid kedua, kemudian suci, kemudian datang haid ketiga dan apabila tamat haid ketiga habislah tempoh eddahnya. (Tafsir Ibnu Kathir).
[2] Menurut mazhab Syafiie; umur putus haid ialah 62 tahun. Menurut mazhab Maliki; 60 tahun, mazhab Hanbali; 50 tahun dan Hanafi; 55 tahun. (Tafsir al-Munir)
Rujukan;
1. Tafsir al-Jalalain, surah at-Talaq, ayat 4.
2. Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Baqarah, ayat 228 dan surah at-Talaq, ayat 4.
3. Tafsir al-Munir, Dr. Wahbah az-Zuhaili, surah at-Talaq, ayat 4.
4. At-Talaq, Dr. Muhammad Ibrahim Hafnawi, hlm.377.
5. Tamam al-Minnah, Syeikh Adil al-‘Azzazi, 3/19.
6. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan “’Iddah”.




Sumber #2: USTAZ SHAUQI


ayat 228 surah al-Baqarah:
Maksud ayat:Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa edah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

Dalam ayat ini, Allah menjelaskan bahawa wanita-wanita yang diceraikan oleh suami mereka, tempoh menunggu (edah) yang dikenakan kepada mereka sebelum mereka dapat berkahwin semula ialah tiga quru’ iaitu tiga kali suci atau tiga kali haid. Tujuan edah bagi wanita adalah untuk mempastikan bahawa ‘rahim’ mereka bersih supaya tidak wujud kecelaruan dalam menentukan nasab anak.

Justeru, haram bagi seseorang wanita menyembunyikan ‘kandungan’ di dalam rahimnya bagi membolehkannya berkahwin lain tanpa menunggu habisnya edah bagi orang yang hamil. Allah SWT mengetahui apa jua perlakuan manusia, maka hendaklah seseorang itu bersikap jujur dan amanah sekiranya ia benar-benar beriman kepada Allah SWT dan beriman kepada Hari Akhirat.

Dalam tempoh edah bagi talak raj’ie, suami berhak untuk rujuk kembali dengan isteri yang telah diceraikan itu. Hal ini kerana syarak amat menggalakkan agar ikatan perkahwinan itu dapat dikekalkan sedaya mungkin. Sehubungan dengan itu, perkara ‘halal’ yang paling dibenci oleh Allah ialah talak. Akan tetapi apabila habisnya tempoh edah, maka rujuk tidak dibenarkan lagi melainkan mereka berkahwin semula dengan akad yang baharu.

‘Rujuk’ amat digalakkan sekiranya berniat baik untuk mengembalikan keharmonian rumahtangga. Akan tetapi sekiranya ‘rujuk’ itu berniat dengan yang tidak baik seumpama hendak menganiayai isteri seperti ‘menggantungnya tidak bertali’ maka perbuatan itu adalah haram dan berdosa di sisi Allah. Oleh itu, syarat ‘rujuk’ mestilah dengan tujuan dan kehendak yang baik.

Ayat di atas juga mengingatkan tentang tanggung jawab yang perlu ditunaikan sama ada dari pihak suami mahu pun dari pihak isteri. Namun, tanggung jawab memimpin keluarga dan rumahtangga adalah merupakan amanah yang wajib dipikul oleh suami. Oleh itu, suami juga wajib memberikan nafkah yang wajib kepada isteri berupa makan-minum, pakaian dan tempat tinggal.

Manakala isteri pula bertanggung jawab untuk menjadi ‘pembantu’ dan teman setia kepada suami. Tugasnya lebih tertumpu kepada memelihara kehormatan, menjaga rumah dan mendidik anak-anak. Di samping itu, isteri juga boleh membantu suami untuk keluar bekerja dengan melakukan pekerjaan yang sesuai dengan fitrah wanita sekiranya keadaan amat memerlukan. Namun begitu, adab-adab dan akhlak wajib dipelihara ketika keluar dari rumah seperti menutup aurat, tidak bergaul bebas dan tidak mewujudkan suasana yang boleh menimbulkan fitnah.
Pengajaran Ayat

Wajibnya edah bagi wanita yang bercerai adalah disebabkan perkara-perkara berikut:

- Untuk memastikan ‘rahim’ wanita itu benar-benar ‘bersih’.
- Memelihara kehormatan wanita
- Memelihara nikmat hidup berumahtangga.
- Berfikir akibat selepas perceraian.
- Memberikan peluang untuk kembali hidup sebagai suami isteri
- Berfikir tentang masa depan anak-anak.

Tempoh edah adalah seperti yang berikut:
- Bercerai sebelum sempat bersetubuh – tiada edah.
- Talak bagi wanita yang masih didatangi haid – tiga kali suci / haid
- Wanita yang tidak mempunyai haid seperti kanak-kanak yang belum baligh atau wanita yang sudah putus haid (menopause) – 3 bulan
- Wanita hamil – sehingga melahirkan anak
- Edah bagi suami yang meninggal dunia – 4 bulan 10 hari

Maksud perkataan (( quru’)) dalam ayat di atas:

Maksud ‘quru’ dari segi bahasa ialah suci dan haid. Oleh itu para fuqaha’ berbeza pendapat tentang edah wanita yang diceraikan.
- Pendapat ulama’ mazhab Maliki, Syafei: quru’ bermaksud ‘suci’ daripada haid. Pandangan ini dipegang oleh Ibnu ‘Umar, Aisyah, Zaid Bin Thabit dan salah satu pandangan dalam mazhab Hanbali.
- Pendapat Abu Hanifah dan Imam Ahmad (salah satu pandangan) : quru’ bermaksud haid. Pendapat ini juga dipegang oleh Umar, Ibnu Mas’ud, Abu Musa, Abu Darda’ dan selainnya.

Bagaimanakah terhasilnya ‘rujuk’?
- Ulama’ aliran mazhab Syafei : terhasilnya rujuk semasa edah dengan perkataan yang sarih seperti ‘aku rujuk dengan kamu’, atau kinayah yang ada niat seperti ‘aku nikah dengan kamu’. Rujuk tidak terhasil dengan perbuatan seperti bersetubuh.
- Jumhur ulama’ : terhasilnya rujuk semasa edah sama ada melalui perkataan atau pun perbuatan

Perkahwinan menuntut agar suami dan isteri melaksanakan tanggung jawab dan amanah masing-masing agar keharmonian dan keamanan di dalam rumahtangga dapat diperoleh. Kebahagian akan diperoleh sekiranya dapat mewujudkan kehidupan dan muamalah yang baik dalam keluarga.


Sumber #3: halaqah.net

Taat semasa dalam edah

Iddah ialah satu jangkamasa tertentu yang wajib dilalui oleh seorang perempuan yang baru diceraikan oleh suaminya ataupun kematian suaminya.

Tujuan beriddah ialah untuk memastikan rahim perempuan itu kosong dari sebarang kandungan. Ia juga dapat memberikan ruang masa bagi suami rujuk semula kepada bekas isterinya.

Iddah sebenarnya mempunyai hikmah yang besar kepada perempuan dan lelaki. Walaupun dalam tempoh iddah ini, perempuan dilarang berkahwin lain dan dia juga dikenakan beberapa peraturan lain, iddah sebenarnya memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami, Allah swt telah menyatakan :

'Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusu (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya dan musyawarahkanlah antara kamu (segala sesuatu) dengan baik dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya'.
( Surah at-Talak : 6 )

Demikian Allah memberi panduan mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami. Ini bermakna tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak bukan sahaja semasa hidup bersama tetapi juga selepas bercerai dengan isteri. Dalam tempoh iddah, isteri itu masih hak suaminya, maka ketaatan sama seperti ketaatan seorang isteri semasa belum bercerai, kecuali tidak melakukan persetubuhan atau mukadimah persetubuhan.  


"Dalam tempoh iddah, isteri itu masih hak suaminya, maka ketaatan sama seperti ketaatan seorang isteri semasa belum bercerai, kecuali tidak melakukan persetubuhan atau mukadimah persetubuhan."



 *keindahan Islam yang diciptaNya amatlah halus yang kita takkan nampak dengan mata kasar...perbuatan cerai adalah halal di sisi agama namun perbuatan itu dibenci AllahSWT...dalam eddah kita sebagai isteri masih lagi perlu melakukan segala tugasan sebagai isteri..dan kita belum lagi digelar "J" sehingga tempoh eddah itu tamat..masih lagi tinggal sebumbung..sekiranya dalam tempoh itu ada terdetik hati untuk berbaik..pergilah rujuk pada yang lebih pakar ye...semoga tabahlah wahai hati bagi wanita yang diceraikan...semoga ini dapat membantu sedikit sebanyak..kalau ada yang silap pasal info ni..boleh tegur ye..*



ikhlas dari hati,

No comments:

Post a Comment